Benarkah kerana harta pusaka yang hidup
berdosa dan yang mati merana?
.
Gara-gara berebutkan harta peninggalan si
mati, adik beradik boleh berkelahi hingga putus hubungan silaturahim.
.
Malah lebih dasyat sampaikan berbunuh
semata-mata untuk harta pusaka.
.
Paling sedih, mayat di rumah belum pun
dikebumikan lagi, namun harta yang direbut menjadi keutamaan. Itulah hebatnya
penangan harta.
.
Yang beriman pun boleh tergugat imannya,
apatah lagi yang hanya Islam pada nama. Mungkin agak kasar bunyinya, namun
itulah realiti kehidupan masyarakat hari ini.
.
Setiap yang berlaku ada hikmah yang boleh
diambil pengajaran darinya. Di samping mendedahkan ‘belang’ sebenar sikap
seseorang, bahkan lebih dari itu turut memperingatkan kita agar lebih bersedia
membuat persiapan sebelum tibanya mati.
.
Antaranya yang dituntut dalam Islam adalah
mewasiatkan harta yang ada, atau paling tidak menghibahkan harta tersebut
kepada anak-anak yang ditinggalkan.
.
Bukankah itu jalan yang terbaik dan kerana
itulah Islam menganjurkan penulisan wasiat agar kehidupan manusia lebih
harmoni.
.
Sememangnya pengurusan harta yang baik dapat
menyumbang keamanan hidup buat waris yang tinggal sekali gus menjamin ketenteraman
hidup buat yang telah mati.
.
Kepentingan meninggalkan wasiat turut
diperjelaskan oleh Rasulullah s.a.w.
“Sesiapa yang mati meninggalkan wasiat maka
dia mati atas jalan Islam, mati dalam keadaan mengikut sunnah, mati dalam
ketakwaan, mati dalam syahadah, dan matinya diampuni.” – HR Ibnu Majah
.
Orang yang tidak beriman dan tidak memahami
perkara ini akan berusaha mencari jalan untuk memperoleh harta tersebut
sebanyak mungkin.
.
Namun, bagi orang yang beriman dan memahami
hukum, mereka akan memastikan terlebih dahulu adakah dirinya tergolong di dalam
golongan yang memiliki hak sebelum menghampiri harta tersebut.
.
Perlu diingat, sebelum sebarang harta
dibahagi-bahagikan mengikut kaedah faraid, waris perlu memastikan setiap
hak-hak si mati telah pun diselesaikan terlebih dahulu.
.
Antaranya kos pengurusan jenazah serta hutang
piutang si mati sama ada berhutang dengan Allah mahupun manusia.
.
Bagi orang yang beriman, mereka tentunya
memahami bahawa segala sesuatu itu milik Allah. Maka janganlah pula mengambil
sesuatu yang tidak diizinkan serta diharamkan oleh Allah.
.
Justeru, setiap individu perlu jelas dan
maklum perihal ilmu berkaitan faraid. Rasulullah s.a.w. bersabda,
.
“Pelajarilah ilmu faraid dan ajarkan kepada
manusia, kerana ia adalah separuh dari ilmu dan akan dilupakan. Ia juga adalah
ilmu pertama yang akan dicabut dari umatku.” – HR Ibnu Majah
.
Sekiranya tidak arif bab faraid, maka ikutlah
kaedah yang paling mudah. Surah An-Nisa’: 11 dan 12 cukup jelas menerangkan
mengenai pembahagian harta ini.
.
Manakala bagi si mati pula, ketika hidupnya
perlu maklum tentang hak-hak yang perlu diberikan kepada waris-waris yang akan
ditinggalkan. Jangan sampai hak waris yang sepatutnya diberikan tetapi
dinafikan pula.
.
Sebarang wasiat yang menafikan hak seorang
waris yang berhak untuk mendapat faraid nyata terbatal secara automatik.
.
Tiada guna mereka membuat wasiat kerana jika
di akhirnya akan membawa pergaduhan keluarga.
.
Wasi (orang yang dilantik untuk menunaikan
wasiat) juga perlu menegur dan memastikan pembahagiannya tidak bercanggah
dengan hukum syarak.
.
Bahkan tidak pula mengubah wasiat yang dibuat
bagi memastikan perjalanan pembahagian harta berjalan lancar sebagaimana firman
Allah surah Al-Baqarah ayat 181 dan 182.
.
“Kemudian sesiapa yang mengubah mana-mana
wasiat sesudah ia mendengarnya, maka sesungguhnya dosanya hanya ditanggung oleh
orang-orang yang mengubahnya; sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha
Mengetahui.
.
Tetapi sesiapa yang mengetahui bahawa orang
yang berwasiat itu tidak adil atau melakukan dosa (dalam wasiatnya), lalu ia
mendamaikan antara mereka (waris-waris, dengan membetulkan wasiat itu menurut
aturan agama), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun,
lagi Maha Mengasihani.”
.
Rasulullah s.a.w. bersabda, “Barang siapa
yang mati dengan berwasiat, maka dia mati fisabilillah (di jalan Allah).”
.
Hadis ini bermaksud, apabila si mati sudah
menjelaskan hak dan bahagian setiap waris dengan jelas sebelum dia meninggal,
dan apabila dia meninggal, warisnya mengikut apa yang telah dijelaskan dengan
sepakat, maka kedua-dua pihak akan hidup aman dan sentosa.
.
Namun berbeza keadaannya jika si mati tidak
menguruskan harta mereka dengan keterangan serta wasiat yang jelas sehingga
menyebabkan waris yang ditinggalkan bergaduh.
.
Kesannya, bukan sahaja yang hidup (waris)
akan menanggung dosa, malah roh yang terpisah dari jasad juga turut merana.
.
Jika sewaktu hidup dia telah membuat arahan
dan membahagikan hartanya kepada waris dengan jelas dan waris sepakat, tetapi berlaku
juga pergaduhan selepas berlaku kematiannya, maka yang hidup berdosa dan yang
mati sudah selesai dan tidak perlu dipersoalkan.
.
Keadaan sama turut berlaku sekiranya dia
telah mengamanahkan hartanya dengan jelas untuk ditadbir oleh wasi bagi kebaikan
waris-warisnya, namun si pentadbir melakukan khianat atau gagal untuk
mentadbirnya dengan jujur, amanah dan selamat, maka si pentadbir akan berdosa
dan merana.
.
Manakala si mati tidak akan
dipertanggungjawabkan.
.
Walau bagaimanapun di dalam isu pusaka, tidak
ada pula mana-mana nas mahu pun dalil yang membincangkan secara khusus azab
yang diterima oleh si mati, tidak sepertimana ibadah yang lain seperti solat
mahupun zakat dan sebagainya.
.
Tetapi sebagai gambaran untuk melihat
bagaimana azab yang bakal diterima terhadap si mati, lihat pada kehidupan
warisnya yang hidup.
.
Sekiranya keluarga itu berantakan, berpecah
belah dan bergaduh, selagi itu yang di dalam kubur tidak akan aman dan
tenteram.
.
Walau apa pun berkaitan harta pusaka yang
ditinggalkan ini sebenarnya ia merupakan ujian paling besar kepada yang hidup
sama ada mereka tetap kekal dengan keimanan kepada Allah atau sebaliknya.
.
Ingatlah Allah berfirman dalam surah Al
Anbiya: 35
“Setiap jiwa akan merasakan mati. Dan Kami
akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan, dan kepada
Kamilah kamu akan dikembalikan.”
.
Penulisan ini ditulis oleh Azrin Wahid dari
UtusanTV.
.
Jadi, untuk memahami tentang ilmu harta
pusaka, wasiat dan hibah juga harta sepencarian, anda boleh belajar dengan
Ustaz Ghazali Ibrahim dengan mendapatkan Ebook di sini:
0 Comments